Sahabat Sejati

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh


Musim panas sudah tiba. Sekumpulan binatang yang tinggal di dalam hutan, mula mencari tempat yang ada air dan makanan. Ketika binatang-binatang mula meninggalkan hutan, pokok-pokok pula berasa sedih. Mereka tidak boleh bergerak seperti binatang-binatang itu dan terpaksa menghadapi musim panas.

Sebatang pokok pisang yang sedang mengeluarkan jantung bertanya pada seekor monyet ke mana ia akan pergi.

"Wahai monyet ke mana awak nak pergi?" tanya pokok pisang.

"Tentulah nak mencari tempat yang ada air dan makanan," jawab monyet itu.

"Awak sungguh bertuah monyet sebab boleh bergerak mencari air dan makanan. Saya tahu, lama-kelamaan saya akan mati. Kasihan jantung saya ini yang baru keluar. Tentu ia akan mengeluarkan buah yang banyak jika saya dapat bekalan air," ujar pokok pisang.

"Maafkan saya pokok pisang, saya tak boleh bantu awak," ujar monyet lalu melangkah pergi.

Binatang-binatang lain semuanya meneruskan perjalanan. Mereka sampai di satu kawasan lembah yang subur dengan tanam-tanaman. Terdapat sebatang anak sungai yang mengalir di situ. Binatang-binatang itu sangat gembira kerana terdapat air dan makanan.

Setelah beberapa minggu, makanan di kawasan itu mulai kurang. Terdapat banyak binatang di kawasan itu. Mereka memakan setiap tumbuhan dan apa sahaja makanan yang ditinggalkan.
Dia terbayang jantung pisang yang baru keluar sewaktu ditinggalkan.

"Masih hidupkah pokok pisang itu? Kalau ia masih hidup, aku mesti tolong ia," ujar monyet.

Monyet berfikir, rugi jika jantung pisang itu dibiarkan layu tanpa mengeluarkan buah dulu. Monyet segera mendapatkan pokok pisang itu. Ia membawa air bersama-samanya. Ketika monyet sampai, pokok pisang hampir layu. Jantungnya juga semakin lembik dan hampir busuk.

Monyet segera menyiram pokok pisang itu dengan air yang dibawanya.

"Terima kasih monyet, awaklah sahabat sejati saya," ujar pokok pisang itu dengan gembira.

"Saya tidak sampai hati biarkan awak mati. Sebab itulah saya datang semula ke sini," beritahu monyet.

"Awak memang baik hati. Saya janji, kalau saya hidup subur semula dan jantung saya mengeluarkan buah, awak boleh makan buah-buahan itu," ujar pokok pisang.

Monyet berasa sangat gembira mendengar kata-kata pokok pisang itu. Mulai hari itu monyet selalu berulang-alik menyiram air ke pangkal pokok pisang itu. Pokok pisang kembali bertenaga dan mula mengeluarkan anak-anak pisang. Anak-anak pisang itu mula membesar dan mengeluarkan daun-daun hijau dan lebar.

Tidak lama kemudian anak-anak pisang itu mula mengeluarkan jantung. Monyet sangat gembira kerana usahanya telah berhasil.

Musim panas pun berlalu. Hujan kembali turun menyirami bumi. Semua tumbuh-tumbuhan berasa sangat gembira. Mereka telah mendapat air secukupnya dan mula mengeluarkan daun-daun hijau.

Buah pisang pun semakin hari semakin berisi dan membesar. Monyet sangat suka hati kerana tidak lama lagi buah-buah pisang itu akan masak. Akhirnya buah-buah pisang itu mula menguning.

"Sekarang buah-buah pisang sudah masak. Adakah awak benarkan saya makan buah-buah pisang itu?" tanya monyet kepada pokok pisang.

"Ya, saya akan hadiahkan buah-buah ini kepada awak sekeluarga. Awak telah banyak berjasa kepada saya. Ia juga sebagai tanda persahabatan kita yang sejati," ujar pokok pisang.

"Terima kasih pokok pisang. Awak seorang yang berpegang pada janji. Saya akan sentiasa tolong awak," jawab monyet.

Monyet pun mengambil buah-buah pisang yang sudah masak itu dan membawanya pulang. Keluarga monyet sangat gembira menikmati buah-buah pisang yang sangat manis itu.

Moral cerita : Hidup kita akan menjadi lebih gembira dan bahagia jika kita mempunyai sahabat yang ikhlas dan jujur. Seorang sahabat mestilah sanggup berkorban untuk sahabatnya yang lain. Sahabat sejati sanggup melakukan apa sahaja untuk menggembirakan sahabatnya.

0 comments:

Post a Comment