Kisah Malaikat Jibril Dan Malaikat Mikail Menangis

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Dalam sebuah kitab karangan Imam al-Ghazali menyebutkan bahawa nama iblis laknatullah itu disebut sebagai al-Abid (ahli ibadah) pada langit yang pertama, pada langit yang keduanya disebut az-Zahid. Pada langit ketiga, namanya disebut al-Arif. Pada langit keempat, namanya adalah al-Wali. Pada langit kelima, namanya disebut at-Taqi. Pada langit keenam namanya disebut al-Kazin. Pada langit ketujuh namanya disebut Azazil manakala dalam Luh Mahfudz, namanya ialah iblis.

Dia (iblis) lupa akibat urusannya. Maka Allah S.W.T. telah memerintahkannya sujud kepada Adam. Lalu iblis berkata, "Adakah Engkau mengutamakannya daripada aku, sedangkan aku lebih baik daripadanya. Engkau jadikan aku daripada api dan Engkau jadikan Adam daripada tanah." Lalu Allah S.W.T. berfirman yang maksudnya, "Aku membuat apa yang aku kehendaki." Oleh kerana iblis laknatullah memandang dirinya penuh keagungan, maka dia enggan sujud kepada Adam a.s. kerana bangga dan sombong. Dia berdiri tegak sampai saatnya malaikat bersujud dalam waktu yang berlalu. Ketika para malaikat mengangkat kepala mereka, mereka mendapati iblis laknatullah tidak sujud sedang mereka telah selesai sujud. Maka para malaikat bersujud lagi bagi kali kedua kerana bersyukur, tetapi iblis laknatullah tetap angkuh dan enggan sujud. Dia berdiri tegak dan memaling dari para malaikat yang sedang bersujud. Dia tidak ingin mengikut mereka dan tidak pula dia merasa menyesal atas keengganannya.

Kemudian
Allah S.W.T. mengubah muka iblis yang mana pada asalnya sangat indah kepada bentuk seperti babi hutan. Allah S.W.T. membentukkan kepalanya seperti kepala unta, dadanya seperti daging yang menonjol di atas punggung, wajah yang ada di antara dada dan kepala itu seperti wajah kera, kedua matanya terbelah pada sepanjang permukaan wajahnya. Lubang hidungnya terbuka seperti cerek tukang bekam, kedua bibirnya seperti bibir lembu, taringnya keluar seperti taring babi hutan dan janggut terdapat sebanyak tujuh helai.

Setelah itu,
Allah S.W.T. mengusirnya dari syurga, bahkan dari langit, dari bumi dan ke beberapa jazirah. Dia tidak akan masuk ke bumi melainkan dengan cara sembunyi. Allah S.W.T. melaknatinya sehingga ke hari kiamat kerana dia menjadi kafir. Walaupun iblis laknatullah itu pada sebelumnya sangat indah rupanya, mempunyai sayap empat, banyak ilmu, banyak ibadah serta menjadi kebanggan para malaikat dan pemukanya, dan dia juga pemimpin para malaikat karubiyin dan banyak lagi, tetapi semua itu tidak menjadi jaminan sama sekali baginya.

Ketika
Allah S.W.T. membalas tipu daya iblis laknatullah, maka menangislah Jibril a.s. dan Mikail. Lalu Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud, "Apakah yang membuat kamu menangis?" Lalu mereka menjawab, "Ya Allah! Kami tidaklah aman dari tipu dayamu." Firman Allah S.W.T. bagi bermaksud, "Begitulah aku. Jadilah engkau berdua tidak aman dari tipu dayaku." Setelah diusir, maka iblis laknatullah pun berkata, "Ya Tuhanku, Engkau telah mengusir aku dari syurga disebabkan Adam, dan aku tidak menguasainya melainkan dengan penguasaan-Mu."

Lalu
Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud, "Engkau dikuasakan atas dia, yakni atas anak cucunya, sebab para nabi adalah maksum." Berkata lagi iblis laknatullah, "Tambahkanlah lagi untukku." Allah S.W.T. berfirman yang maksudnya, "Tidak akan dilahirkan seorang anak baginya kecuali tentu dilahirkan untukmu dua padanya." Berkata iblis laknatullah lagi, "Tambahkanlah lagi untukku." Lalu Allah S.W.T. berfirman dengan maksud, "Dada-dada mereka adalah rumahmu, engkau berjalan di sana sejalan dengan peredaran darah." Berkata iblis laknatullah lagi, "Tambahkanlah lagi untukku." Maka Allah S.W.T. berfirman lagi yang bermaksud, "Dan kerahkanlah terhadap mereka pasukan berkuda dan pasukan yang berjalan kaki, ertinya mintalah tolong menghadapi mereka dengan pembantu-pembantumu, baik yang naik kuda mahupun yang berjalan kaki. Dan berserikatlah dengan mereka pada harta, iaitu mendorong mereka mengusahakannya dan mengarahkannya ke dalam haram."

"Dan pada anak-anak, iaitu dengan menganjurkan mereka dalam membuat perantara mendapat anak dengan cara yang dilarang, seperti melakukan senggama dalam masa haid, berbuat perkara-perkara syirik mengenai anak-anak itu dengan memberi nama mereka Abdul Uzza, menyesatkan mereka dengan cara mendorong ke arah agama yang batil, mata pencarian yang tercela dan perbuatan-perbuatan yang jahat dan berjanjilah mereka." (Hal ini ada disebutkan dalam surah
al-Isra' ayat 64 yang bermaksud : "Gerakkanlah orang yang engkau kuasai di antara mereka dengan suara engkau dan kerahkanlah kepada mereka tentera engkau yang berkuda dan yang berjalan kaki dan serikanlah mereka pada harta dan anak-anak dan berjanjilah kepada mereka. Tak ada yang dijanjikan iblis kepada mereka melainkan (semata-mata) tipuan."

Pahlawan Neraka

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Suatu hari satu pertempuran telah berlaku di antara pihak Islam dengan pihak Musyrik. Kedua-dua belah pihak berjuang dengan hebat untuk mengalahkan antara satu sama lain. Tiba saat pertempuran itu diberhentikan seketika dan kedua-dua pihak pulang ke markas masing-masing. Di sana Nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabat telah berkumpul membincangkan tentang pertempuran yang telah berlaku itu. Peristiwa yang baru mereka alami itu masih terbayang-bayang di ruang mata. Dalam perbincangan itu, mereka begitu kagum dengan salah seorang dari sahabat mereka iaitu, Qotzman. Semasa bertempur dengan musuh, dia kelihatan seperti seekor singa yang lapar membaham mangsanya. Dengan keberaniannya itu, dia telah menjadi buah mulut ketika itu.

"Tidak seorang pun di antara kita yang dapat menandingi kehebatan Qotzman," kata salah
seorang sahabat. Mendengar perkataan itu, Rasulullah s.a.w. pun menjawab, "Sebenarnya dia itu adalah golongan penduduk neraka." Para sahabat menjadi hairan mendengar jawapan Rasulullah s.a.w. itu. Bagaimana seorang yang telah berjuang dengan begitu gagah menegakkan Islam boleh masuk dalam neraka. Para sahabat berpandangan antara satu sama lain apabila mendengar jawapan Rasulullah s.a.w. itu. Rasulullah s.a.w. sedar para sahabatnya tidak begitu percaya dengan ceritanya, lantas Baginda s.a.w. berkata, "Semasa Qotzman dan Aktsam keluar ke medan perang bersama-sama, Qotzman telah mengalami luka parah akibat ditikam oleh pihak musuh. Badannya dipenuhi dengan darah. Dengan segera Qotzman meletakkan pedangnya ke atas tanah, manakala mata pedang itu pula dihadapkan ke dadanya. Lalu dia terus membenamkan mata pedang itu ke dalam dadanya."

"Dia melakukan perbuatan itu adalah kerana dia tidak tahan menanggung kesakitan akibat dari luka yang dialaminya. Akhirnya dia mati bukan kerana berlawan dengan musuhnya, tetapi membunuh dirinya sendiri. Melihatkan keadaannya yang parah, ramai orang menyangka yang dia akan masuk syurga. Tetapi dia telah menunjukkan dirinya sebagai penduduk neraka." Menurut Rasulullah s.a.w. lagi, sebelum dia mati, Qotzman ada mengatakan, katanya, "Demi Allah aku berperang bukan kerana agama tetapi hanya sekadar menjaga kehormatan kota Madinah supaya tidak dihancurkan oleh kaum Quraisy. Aku berperang hanyalah untuk membela kehormatan kaumku. Kalau tidak kerana itu, aku tidak akan berperang."

Kisah Raja Bersiong

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Pada zaman dahulu, negeri kedah diperintah oleh seorang raja yang adil. Seluruh rakyat taat dan setia akan baginda dan permaisurinya. Baginda berdua tinggal di sebuah istana yang indah.

Di dalam istana, terdapat ramai pembesar dan panglima. Mereka menjalankan tugas masing-masing. Di istana itu juga terdapat hulubalang, dayang-dayang dan tukang masak.

Pada suatu hari, baginda telah pergi ke tempat memasak. Baginda meminta tukang masak menyediakan makanan yang lazat-lazat untuk baginda.

Setelah baginda pergi dari situ, ketua tukang masak itu pun menyediakan pelbagai jenis makanan yang lazat. Tentu baginda akan berselera menjamah makanan pada hari itu.

Tanpa diduga, semasa memotong sayur, tiba-tiba jari ketua tukang masak itu terkena pisau. Jari ketua tukang masak itu pun luka dan berdarah. Namun, dia merahsiakan perkara itu.

Lauk yang dimasak itu bercampur dengan darah. Ketua tukang masak sedar akan hal itu. Baginda raja tidak mengetahui apa yang berlaku.

Setelah makanan siap, baginda raja pun menjamah makanan tersebut. Baginda merasakan bahawa masakan pada hari itu lebih sedap dan lazat. Baginda memuji ketua tukang masak itu.

Esoknya, ketua tukang masak terpaksa memasak untuk baginda lagi. Namun, masakannya tidak seenak semalam. Bagina raja menjadi murka.

''Kenapa hari ini masakan kamu tak sedap?" tanya baginda kepada ketua tukang masak.

Ketua tukang masak benar-benar berasa cemas. "Kalau masakan kamu tak sedap lagi, beta akan hukum kamu!" titah baginda dengan murka.

Ketua tukang masak itu menggigil ketakutan. Ketua tukang masak berdikir, mengapa masakannya pada hari itu tidak sedap.

"Mungkin kerana tidak bercampur dengan darah," katanya dalam hati. Ketua tukang masak tidak mahu baginda murka lagi. Kali ini, masakannya dicampur dengan darah jarinya yang luka.

"Tentu baginda akan lebih berselera kali ini," kata ketua tukang masak dalam hatinya.

Baginda amat gembira dan memuji keenakan makanan pada hari itu. Rupa-rupanya, baginda telah ketagih makanan bercampur darah. Namun, tiada sesiapa yang tahu akan hal sebenarnya.

Oleh sebab baginda ketagihkan darah, akhirnya gigi baginda ditumbuhi siong. Lama-kelamaan siong itu semakin panjang dan tajam. Baginda mula berasa malu.

Pada suatu malam, baginda ketagihkan darah. Baginda terus menangkap seorang lelaki lalu menghisap darah pada tengkuk lelaki itu.

Perbuatan baginda itu dilihat oleh beberapa orang yang berada di tempat itu. Mereka benar-benar terkejut. "Raja hisap darah! Raja hisap darah!" jerit mereka yang ternampak baginda sedang menghisap darah lelaki itu.

Jeritan itu membuatkan semakin ramai rakyst baginda mengetahui akan perbuatan raja mereka yang ketagih darah. Baginda berasa amat malu akan perkara itu. Akhirnya, baginda pun melarikan diri ke dalam hutan.

Semenjak hari itu, rakyat negeri Kedah berasa sedih kerana raja mereka mempunyai siong yang panjang.