Pokok Mangga Yang Sombong

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Pak Kassim seorang peladang buah-buahan. Di ladangnya dia menanam pokok durian, pokok rambutan, pokok manggis, pokok pulasan, pokok langsat dan pokok cempedak. Semua pokok
buah-buahan itu akan berbuah bila tiba musimnya.

Di ladang Pak Kassim juga ada menanam pokok mangga. Hanya pokok mangga sahaja berbuah tidak ikut musim. Sepanjang masa ada sahaja buahnya.

Pokok mangga ditanam di sebelah pokok manggis. Disebabkan selalu berbuah, pokok mangga menjadi sombong dan selalu menghina pokok manggis.

"Hai pokok manggis, kasihannya awak. Awak berbuah setahun sekali sahaja. Sebab itulah, tuan kita tak pedulikan awak. Lainlah macam saya ni, sentiasa berbuah," ujar pokok mangga.

"Awak memang bertuah mangga. Awak boleh berbuah sepanjang masa. Tetapi saya berbuah setahun sekali sahaja. Saya buah-buahan bermusim. Awak pula buah-buahan tak bermusim," jawab pokok manggis.

Pokok mangga menjadi semakin sombong mendengar kata-kata pokok manggis itu. Sekarang ia sedang mengeluarkan bunga-bunga baru, sedangkan buah yang ada masih banyak lagi.

Disebabkan pokok mangga selalu berbuah, Pak Kassim sangat sayang kepada pokok mangga itu. Dibaja dan disiramnya setiap hari. Pokok manggis tidak dipedulikan. Ia berasa sangat sedih. Oleh kerana pokok manggis mempunyai akar yang kuat dan panjang, ia dapat juga menyedut air yang disiram oleh Pak Kassim.

Musim buah akhirnya tiba. Pokok manggis mula mengeluarkan bunga-bunga kecil berwarna merah. Begitu banyak bunga yang keluar. Pokok manggis sangat gembira. Begitu juga dengan Pak Kassim. Dia mula memberi perhatian kepada pokok manggis dan pokok-pokok bermusim yang lain.

Pak Kassim mula menabur baja dan membersihkan sekitar pokok-pokok bermusim itu. Pokok mangga mula dibiarkan semak dan tidak dipedulikan. Pokok mangga menjadi cemburu. Pak Kassim tidak memberi perhatian kepadanya lagi.

Beberapa bulan kemudian, buah manggis mulai masak. Begitu juga dengan buah rambutan. langsat, cempedak dan pulasan. Buah durian mulai gugur. Pak Kassim langsung tidak beri perhatian kepada pokok mangga lagi. Buah mangga yang mulai masak, tidak dipetik. Pak Kassim lebih suka memetik buah-buahan bermusim yang mahal harganya.

Pada suatu hari, pokok mangga berkata kepada pokok manggis. "Wahai pokok manggis, apalah malang nasib saya ini. Pak Kassim tidak pedulikan saya lagi. Dia tidak lagi menabur baja di pangkal pokok saya dan dibiarkan semak. Setiap hari dia hanya memberi perhatian pada awak dan pokok bermusim yang lain," ujar pokok mangga dengan sedih.

"Bersabarlah pokok mangga. Sekarang tibalah giliran saya dengan pokok-pokok bermusim diberi perhatian. Awak tidak boleh cemburu," nasihat pokok manggis.

"Pak Kassim tidak adil! Dahulu dia sangat sayangkan saya tapi bila awak berbuah, dia langsung tidak pedulikan saya," rungut pokok mangga lagi.

Akhirnya buah-buah mangga jatuh ke tanah kerana terlampau masak. Pokok mangga berasa sedih kerana tidak ada orang yang hendak memakannya. Semua orang hendak makan buah-buahan bermusim yang datang setahun sekali.

Lebih menyedihkan pokok mangga bila semut dan kerengga mula bersarang di dahannya. Begitu juga dengan pokok api-api yang memanjat dahannya untuk menumpang hidup.

Lama-kelamaan pokok mangga menjadi rosak dan tidak subur. Daun-daunnya mulai layu dan gugur. Dahan dan rantingnya mulai kering. Akhirnya pokok mangga pun mati.

Moral cerita : Jangan menghina orang lain disebabkan kekurangan yang ada pada diri mereka. Setiap makhluk yang dijadikan Allah ada kelebihan dan kekurangannya. Bersyukurlah dengan kelebihan yang telah diberikan Allah.

0 comments:

Post a Comment